Tuesday, October 6, 2015



Assalamualaikum wbt

Rasanya telah lama tidakku update entri disni, barangkali bertahun-tahun. Kini, tanganku seperti gatal kembali untukku coretkan penaku yang telah sekian lama menari-nari mencoret kisah. Kukisahkan sebuah entri kali ini, "jiwa suci, fikrah haraki".

JIWA SUFI, FIKRAH HARAKI

Jika ditakdirkan menjadi seorang abid, sudah pasti kita melazimi sepanjang masa di Masjid tanpa mempeduli nasib umat sekitar. Jika kita ditakdirkan menjadi aktivis sosial, sudah pasti sepanjang masa kita melunakkan bakti kepada masyarakat, mempeduli rakyat tanpa hirau hubungan kita dengan al-Khaliq. Tetapi, kita lahir dari sebuah medan Tarbiyah yang memerlukan kita rapat dengan al-Khaliq tanpa meninggalkan sedikitpun tanggung jawab kita pada umat manusia kerna kita adalah abnaul harakah.

Bila disebut abnaul harakah, memerlukan kedalam diri kita sifat peduli umat tanpa mengira dimana kita berada, hutan atau kota. Tanpa mengira berapa bilangan kita, sedikit mahupun banyak. Tanpa mengira harta kita, kaya atau miskin, ibarat api yang menyala suluh menerangi umat. Sebagai abnaul harakah juga, penting untuk kita sentiasa mentarbiyah diri, kerana hasil daripada Tarbiyah diri akan melahirkan gaya gerak kerja kita samaada di lapangan Dakwah mahupun Siayasah. Tanpa tarbiyah, dakwah kita hanya kosong, siyasah pula hanya retorik dan kotor dengan helah dan saraf yang keji.

Dalam medan Tarbiyah, penyucian hati amat penting sebagai penghubung diri dengan Ilahi. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir. Oleh itu, penting bagi kita menanam menjaga hati dengan menanam sifat tawadhuk dalam setiap amalan kita supaya kita tidak termakan mamahan syaitan laknatullah.
Dalam kitab al-Hikam, karya agung Syeikh Ibnu Atho ‘illah dinukilkan “ Siapa yang merasa diri bertawadhuk, maka, bererti dia benar-benar sombong, sebab tidak mungkin ia merasa tawaduk kecuali kalau ia merasa besar/tinggi, kerana itu bila engkau menetapkan bahawa dirimu itu besar/tinggi, maka, benar-benar engkau telah sombong. Maka apabila engkau menetapkan dirimu bertawadhuk yakni padahal engkau itu seorang yang besar dan tinggi, maka, itu bererti engkau benar-benar telah sombong”.

Abu Yazid berkata : Selama mana seseorang itu merasakan ada orang yang lebih jahat daripadanya, maka ia sombong. Dan ketika ditanya, bilakah seseorang itu bertawadhuk? Jawabnya, jika tidak merasa ada kedudukan atau kemulian, dan tawadhuk seseorang itu menurut kadar makrifatnya terhadap Tuhan dan dirinya.

Perkara inilah yang menjadi sukar dan halangan buat anak-anak gerakan kini, merasa angkuh dan berkuasa menjadi sebati dihati bila menjawat sesuatu jawatan di dalam Jemaah mahupun mana-mana organisasi. Menanam hati dengan sifat yang terpuji atau mengamalkan zikir sebagai penawar diri jarang dilazimi para anak-anak gerakan kecuali bacaan mathurat yang dibaca dibibir tanpa hadir kedalam hati. Masakan tidak, jika ditanya maknanya sahaja hanya tunduk tersipu malu.

Natijahnya, masih banyak yang perlu dilalui dan disuci para hati pejuang Ilahi, bukan sekadar sifat peduli isu semasa, namun hati mati untuk turun bersama ke lapangan kebajikan dan dakwah, bukan hanya pakar mendalami ilmu falsafah, tetapi, lazimi juga ilmu akidah syariat mahupun haraki, bukan juga sekadar laungan keramat suara rakyat, tetapi, basahkan juga bibir dengan bacaan Al-Quran dan zikir mengingat Ilahi. Moga para pejuang beroleh Mardhotillah. Moga Allah swt memandu hati kita dan menjaga setiap amal dan tindak tanduk kita. Jadilah insan yang berfikrah haraki dan mempunyai hati para sufi.


Wallahualam.
NIK MOHD ADHAM
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

 






0 comments:

Post a Comment

 
Template by STR from Minima retouched by Nyahoo | ics - id | ADxMenu |